xx Puisi Malam xx

xx Puisi Malam xx



Hai!

Sejak dua menjak ni aku susah betul lah tidur malam. Masa menghadap laptop untuk menulis/mengedit, penat bukan main. Tapi bila sudah mengampai di katil yang empuk, mata pun layu... kepala aku pula tiba-tiba aktif memikirkan semula benda yang berlaku 7.5 tahun lepas sehinggalah ke saat ini.

Pusing kiri, pusing kanan, menghadap siling. Sekali tengok jam 6 pagi sudah. Barulah aku automatik tertidur. Aku pun nda faham tapi tulah dua tiga jam tidur pun cukuplah. Asal ada.

Tapi kadang daripada berpusing-pusing aku akan luangkan masa dengan menulis. Kasi keluar semua.

Aku pilih untuk menulis secara manual sebab di akhir hari pen dan kertas jugalah yang paling menang. 

Kau jugalah haha (inside joke hehheh)

Lepas tulis atas kertas, biar dia menjeruk la untuk beberapa hari. Bila teringat semula baru aku akan baca balik, hadam balik dan tulis semula versi baru. Ini nasihat dari guru ku.

Masa ni lah baru aku abadikan pada skrin. Biar tak hilang.

Jemput baca.


TULISAN #1

aku suka bersendiri
sudah terbiasa
jarang sekali aku membuka pintu buat jiwa-jiwa lain

tapi bila aku mengambil keputusan
untuk menjemput mu masuk
menyediakan ruang buat mu


dan
menjadikan kau sebahagian daripada hari ku

aku harap kau tahu
betapa aku senang dengan kehadiran mu

ingin juga aku meminta maaf
jika perbuatan ku sedikit kaku
aku masih cuba untuk membiasakan diri 



TULISAN #2

sini aku duduk
di tengah malam
sedang yang lain dibuai mimpi

hanya ditemani radio, secawan kopi dan hati yang kian layu

menghayati hidup
walau aku masih tidak faham

tapi kerana aku tahu siapa yang memegang hari esok 
aku jadi tenang

kerana dari-Nya lah aku belajar
erti sabar
erti percaya


xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx


Jika kamu sering ikuti tulisan-tulisan kosong ku, kamu mungkin sudah sedia maklum bahawa aku suka bersendirian. 

Bukan tiada kawan atau tidak mahu berkawan, ada. Bulatan yang kecil dan aku sangat sayang mereka.

Cuma aku memang perlu dan suka masa bersendirian sampai kadang aku sendiri leka kerana terlalu hilang di dunia sendiri.

Syukur, sekarang aku sudah mulai faham sedikit. 

Ya, bersendirianlah bila perlu tapi janganlah sampai lupa realiti.

Bersederhanalah. Cari keseimbangan.

Dalam beberapa minggu lagi, semester baru akan buka. Maka bermula lagilah hidupku sebagai seorang pelajar. Macam biasalah, azam-azam baru yang mau di kitar semula heheh tetapi bab-bab belajar dan assignment tu, aku releks ja kali ni. Bukan ambil mudah tapi aku nda mau juga harapan setinggi gunung kinabalu yang disikut tapi last-last hambar.

Nda pa, kita steady ja.

Buat selalu tapi jangan macam selalu yang last minit haha

Cuma kali ni aku mau cuba untuk keluar dari zon selesa. Nda mau tahun terakhir ku berlalu dengan sia sia.

Aku mahu keluar.
Aku mahu turun.

Semua ni buat aku teringat akan organisasi mahasiswa pertama yang aku sertai iaitu Kelab Sastera Mahasiswa (KARMA), itulah pertama kali aku merasa gerakan yang sebegini rupa dan aku berterima kasih kepada seorang insan ni, kerana dialah yang menarik aku masuk tanpa pengetahuan ku.

Kami tidak begitu kenal antara satu sama lain. Tapi aku bersyukur kerana dia memberi kepercayaan kepada ku dan membawa aku turut serta dalam keluarga KARMA. 

Jujur sahaja la kan, awalnya terdetik jugalah dalam hati kecil ku ini untuk mengundurkan diri. Banyaklah alasan yang aku fikirkan namun pada masa yang sama macam terjentik juga hatiku untuk tetap terus, cuba benda baru lah katanya.

dan aku tidak pernah toleh ke belakang sejak dari hari itu.


Aku ingat satu malam tu kami pergi mengagihkan bubur dan air di kota raya sebagai program gabungan. Sekitar jam 3-4 pagi begitu. Aku orang KK tapi itulah kali pertama aku keluar pergi KK dalam jam gitu lagi. Barulah terbuka mata sikit, bandar di mana aku membesar. Ingat aku sudah kenal, rupanya banyak benda lagi yang aku tidak tahu.

Setelah selesai aku dan beberapa orang kawan duduk di atas jalan raya, ditemani cahaya bulan serta nyanyian mereka yang lagi berpesta.

Kami tengah tunggu rakan-rakan lain siap mengagihkan makanan mereka.

Aku macam biasa lah, tengok sana sini mulut tetap membisu.

Tiba-tiba kawan ni tanya, dia senior aku dalam major penulisan juga.

"Apa tu puisi untuk kau El?" dengan muka serius.

Terkapai-kapai aku cuba cari jawapan dan akhirnya aku jawab ja..

"Bagi saya puisi tu.. luahan perasaan"

Dia diam kejap sebelum mengangguk kepala.

"Betul jugalah..." katanya termenung jauh

"Tapi siapa kau, yang membuatkan orang mahu baca luahan perasaan kau?" dia tanya lagi, 

Kali ni aku betul-betul terdiam. Tapi dia pun seakan faham dan tidak mengharapkan jawapan, hanya ingin aku berfikir dan cari semula jawapan dalam diri aku.

Cari jangan nda cari.

Kehidupan berorganisasi, belum ku rasa sepenuhnya tapi sedikit yang sudah aku lalui banyak mengajar ku tentang erti setia kawan.

Dari mereka lah aku belajar untuk mengenal dunia..

...dan dari mereka jugalah aku mula mengenal diri sendiri.


Salam perkenalan!




sekian dari seketul el






Comments

Post a Comment

Popular Posts